Anggota Angkatan Pertahanan Awam Kota Tinggi membantu menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di sekitar Pusat Bandar Kota Tinggi pada 8 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Seramai 8,904 mangsa bah Johor, Pahang berlindung di 80 PPS takat 4 petang

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang meningkat sedikit dengan 8,904 mangsa berlindung di 80 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang hari ini berbanding 8,578 mangsa di 78 PPS, pagi tadi.

Menurut laporan terkini situasi banjir di seluruh negara dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Johor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 7,511 orang daripada 2,108 keluarga yang ditempatkan di 54 PPS di enam daerah berbanding 7,413 orang di 52 PPS pagi tadi.

Menurut laporan itu, 4,397 mangsa 1,185 keluarga berlindung di 26 PPS di Kota Tinggi, diikuti Kluang dengan 1,680 mangsa (516 keluarga) di 14 PPS, Johor Bahru (1,271 mangsa daripada 363 keluarga, 10 PPS) dua PPS di Segamat (60 mangsa daripada 17 keluarga) serta masing-masing satu PPS di Kulai (86 mangsa daripada 23 keluarga) dan Pontian (17 mangsa daripada empat keluarga).

Di Pahang, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,393 mangsa daripada 383 keluarga berlindung di 26 PPS dalam tiga daerah berbanding 1,165 mangsa di 26 PPS tengah hari tadi.

Seramai 622 mangsa daripada 194 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Rompin, diikuti Maran dengan 478 mangsa daripada 111 keluarga lapan PPS manakala di Pekan membabitkan 293 mangsa daripada 78 keluarga di lapan PPS.

Selain itu, satu PPS dibuka di Kuching, Sarawak disebabkan bencana kebakaran yang menempatkan 38 mangsa daripada 12 keluarga.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula mendapati beberapa sungai mencatatkan paras bahaya antaranya Sungai Skudai, Johor Bahru; Sungai Johor, Johor Bahru; Sungai Johor, Kulai dan Sungai Endau Kluang di Johor.

Sungai Kedah, Kota Setar di Kedah; Sungai Kelantan, Gua Musang, Kelantan; Sungai Perak, Hulu Perak di Perak; Sungai Arau, Arau di Perlis; Batang Sadong, Serian di Sarawak dan sungai di Pahang iaitu Sungai Kuantan, Kuantan; Sungai Pahang Jerantut; Sungai Pahang di Pekan serta Maran dan Sungai Rompin, Rompin.

Laporan itu juga menyatakan terdapat 50 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.

Jalan terlibat antaranya Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri, Kuala Krai di Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli, Hulu Perak di Perak dan Jalan Temerloh-Jerantut di Pahang.

— BERNAMA


Pengarang :