Istiadat pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Sidang Dewan Negeri Selangor bermula 27 Februari

SHAH ALAM, 6 JAN: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) tahun ini dijadual berlangsung 10 hari bermula 27 Februari ini.

Speaker Lau Weng San berkata pembukaan sidang itu dijangka disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, DNS juga akan bersidang seperti biasa dan perbahasan menyusul selepas titah ucapan DYMM Tuanku.

“Harapan saya kepada semua khususnya pembangkang hadir ke sidang DNS dan mesyuarat jawatankuasa dengan tekun dan tepat waktu serta dapat membangkitkan isu yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Elakkan isu yang boleh memecahbelahkan rakyat kerana ini akan melemahkan masyarakat dan negeri khususnya,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Mengulas berhubung prestasi keseluruhan ahli dewan negeri (ADN) ketika persidangan dewan lalu, Weng San memuji dan berpuas hati kehadiran yang dilihat baik.

“Prestasi keseluruhan ADN baik khususnya kehadiran, semoga persidangan akan datang juga sama,” ujarnya.

Bagi membolehkan rakyat Selangor mengikuti persidangan kali ini, Kerajaan Negeri turut menayangkan secara langsung melalui Selangor TV Live di laman sesawang selangortv.my atau YouTube.


Pengarang :