HULU LANGAT, 10 JAN: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) sedia melebarkan kerjasama dengan lebih banyak penggiat industri bagi penawaran kursus jangka pendek untuk pelatihnya.
Ketua pegawai eksekutifnya berkata usaha itu antara fokus STDC tahun ini bagi melengkapkan pelatih dengan pelbagai latihan kemahiran berkualiti sekali gus menjamin kebolehpasaran pekerjaan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/MBI8-500x345.jpg.webp)
“Sejak tahun lalu kita giat laksana kursus jangka pendek yang dipanggil ‘place and train’ dengan pihak industri yang menjamin penempatan pekerjaan selepas pelajar selesai menjalani kursus.
“Memandangkan konsep ini disambut baik oleh banyak industri, kita akan perkasakan lagi tahun ini dan memperbanyak pengambilan pelajar,” kata Mohd Ramali Abu Bakar.
Beliau ditemui selepas meninjau kerja pemasangan lampu dan pendawaian elektrik sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Blok C, Pangsapuri Seri Rinching, Semenyih hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/MBI6-500x333.jpg.webp)
Mengulas lanjut, Mohd Ramali berkata seramai 500 pelatih disasar mengikuti program kemahiran ditawarkan STDC menerusi empat sesi pengambilan tahun ini.
“Antara kursus yang ditawarkan termasuk teknologi automotif, teknologi motosikal, teknologi elektrik dan teknologi sistem komputer.
“Selain itu teknologi penyaman udara, pastri dan kulinari dengan kemudahan asrama disediakan untuk pelatih,” katanya.
STDC adalah institusi pendidikan teknikal bawah Kerajaan Negeri yang menawarkan pelbagai latihan kemahiran berkualiti dan berdampak tinggi ke arah revolusi industri 4.0.