DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menghadiri Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 oleh Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 31 Januari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
SELANGOR

Sultan berkenan hadiri istiadat Sultan Johor lafaz sumpah jawatan Agong

SHAH ALAM, 31 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat menghadiri Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga berkenan menjadi saksi pertama Sultan Ibrahim menandatangani Surat Sumpah Jawatan yang berlangsung dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-264 (Khas).

“Mesyuarat MRR ke-264 dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, di mana Surat Sumpah Jawatan turut ditandatangani oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Mukhriz sebagai saksi.

“Dengan sempurnanya istiadat ini, menandakan bermulanya tempoh pemerintahan lima tahun Sultan Ibrahim sebagai tonggak kedaulatan dan perpaduan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menjadi saksi pertama dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 di Istana Negara pada 31 Januari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office

Terdahulu, Sultan Ibrahim melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Johor dan Sultan Perak dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat MKK ke-263 (Khas) di Istana Negara pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Sultan Ibrahim, 65, dan Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah, manakala Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan, yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Jan 2019.


Pengarang :