Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melawat ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Kuala Lumpur pada 23 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri Selangor lawat ibu pejabat Bernama

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat melawat ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.

Ini adalah kunjungan kedua Sultan Sharafuddin, selepas kali pertama baginda yang ketika itu Pemangku Raja Selangor melawat Wisma Bernama pada 10 Julai 1986.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 11 pagi disambut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Hadir sama Ketua Pengarang Bernama (menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif) Nur-ul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Nasriah Darus serta pegawai-pegawai kanan Bernama.

Sebaik tiba, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyaksikan pameran foto di ruang lobi yang memaparkan gambar-gambar menarik hasil bidikan lensa petugas Bernama.

Pasangan diraja itu kemudiannya dibawa melawat Jabatan Pengarang, dan sempat menyaksikan koleksi peralatan media termasuk kamera, dron serta baju kalis peluru digunakan petugas Bernama yang dipamerkan, sebelum diberi taklimat mengenai berhubung operasi Bernama.

Bernama yang berperanan sebagai sumber berita nasional mula beroperasi pada 20 Mei 1968, dan ia merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi.

Selaras dengan perkembangan industri media, Bernama bukan sahaja hanya menyalurkan berita kepada pelanggan melalui perkhidmatan ‘wires’ tetapi turut mempunyai saluran televisyen dan radionya sendiri yang dikenali sebagai Bernama TV dan Bernama Radio.

Bernama juga mempunyai kira-kira 5 juta pengikut di pelbagai platform sosial media antaranya Facebook, TikTok, X, Instagram dan YouTube.

-BERNAMA


Pengarang :