SABAK BERNAM, 10 JAN: Seramai 40 ejen pelancongan dari Hatyai, Songkla dan Betong, Thailand mengadakan lawatan sekitar Kuala Selangor hingga Sabak Bernam bagi melihat tempat menarik.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata kehadiran kumpulan pertama dari negara luar itu ke Anjung Utara negeri bakal mempromosikan kawasan berkenaan sekali gus mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong negara gajah putih.
“Program berkonsep agro dan eko-pelancongan ini berjalan tiga hari dua malam. Kita bawa mereka ke lokasi menarik antaranya galeri padi, Pantai Redang, Sky Mirror dan Pusat Konservasi Kelip-kelip.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/P-Anjung-Utara-4-500x333.jpg.webp)
“Ini peluang kita memperkenalkan Selangor kepada penduduk Thailand. Kita yakin usaha dijalankan bersama Tourism Selangor ini berhasil dan bakal terima pelancong ramai dari sana,” katanya ketika menerima kehadiran kumpulan berkenaan.
Suee Lim berkata dalam masa terdekat, Anjung Utara juga bakal dikunjungi kumpulan pelancong dari China dan India yang berminat mengadakan lawatan ke situ.
“Untuk permulaan kita fokus kepada kawasan utara dan bakal meluaskan program hingga ke Klang Bandar Diraja serta Anjung Selatan melibatkan Sepang dan Kuala Langat.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/P-Anjung-Utara-1-500x333.jpg.webp)
“Usaha ini juga merupakan kesinambungan proses mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 di peringkat global yang bertemakan Splendid Selangor, Take Me Anywhere!,” katanya sambil turut memperkenalkan lokasi menarik di Selangor antaranya Selangor Fruit Valley dan ladang buah naga di Sungai Pelek, Sepang.
Pada September, Suee Lim memaklumkan Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan Tahun Melawat Selangor 2025 sebagai usaha menyemarak industri pelancongan dengan sasaran lapan juta pelancong.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/P-Anjung-Utara-5-500x333.jpg.webp)