Teman lelaki Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella, Mohammad Haikal Mahfuz didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 24 Januari 2024 atas pertuduhan membunuh wanita itu di Tongkang Pechah, di sini, Disember tahun lalu. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Teman lelaki didakwa atas tuduhan membunuh Bella

BATU PAHAT, 24 JAN: Teman lelaki Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella, didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu di Tongkang Pechah, di sini, Disember tahun lalu.

Tertuduh Mohammad Haikal Mahfuz, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norasidah A Rahman, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohammad Haikal yang bekerja sebagai posmen didakwa membunuh Bella,32, antara 11 malam 14 Disember hingga 5.30 pagi, 15 Disember tahun lalu di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam Syahril Anuar.

Mahkamah menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Terdahulu, selain keluarga tertuduh, ahli keluarga Bella turut hadir di mahkamah seawal kira-kira 7.45 pagi bagi mendengar prosiding itu.

Jumaat lalu, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani di sini, selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan ibu tunggal anak dua itu.

Pada 14 Disember lalu, Bella dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran dan gagal dihubungi sejak itu.

– BERNAMA


Pengarang :