Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan pemeriksaan terhadap bas ekspress pada Operasi Khas Penguatkuasaan Bas Ekspress di Tol Gombak pada 22 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tiga pegawai JPJ didakwa terima RM600 lepaskan pemandu lori tiada lesen

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Tiga pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperoleh suapan RM600 bagi melepaskan seorang pemandu lori daripada disaman kerana tidak memiliki lesen memandu kenderaan barangan (GDL).

Ahmad Redza Fazri Kodri ,42, Sutan Azri Shah Sutan Norli, 37, dan Aliff Syakir Adnan ,36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mereka didakwa bersama-sama sebagai penguat kuasa JPJ di Bahagian Operasi JPJ WPKL secara rasuah memperoleh untuk diri mereka suapan iaitu wang tunai berjumlah RM600 daripada S Navindran, sebagai balasan untuk melepaskan pekerjanya iaitu pemandu lori daripada saman atas kesalahan tidak memiliki lesen dan lori tersebut tidak dikenakan tindakan sitaan oleh JPJ.

Kesalahan itu didakwa berlaku di perhentian bas bertentangan di Jalan Genting Kelang menghala ke arah Gombak pada 11.13 malam, 27 Jun 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sutan Azri Shah turut berdepan pertuduhan secara rasuah meminta untuk dirinya wang tunai RM800 daripada pemandu lori itu sebagai dorongan untuk melepaskannya daripada saman atas kesalahan sama di Plaza Tol Bukit Teratai di sini pada 8.30 malam, 27 Jun tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM13,000 bagi setiap tertuduh manakala peguam Mohd Hezri Shaharil yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Feb untuk sebutan kes.

-BERNAMA


Pengarang :