EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi (dua, kiri) bersama Setiausaha Agung Badminton Asia Datuk Kenny Goh (tiga, kanan) bergambar bersama Piala Kejohanan selepas Sidang Media Kejohanan Badminton Berpasukan Asia Selangor (SELBATAC) 2024 di Hotel Courtyard By Marriott, Shah Alam pada 18 Januari 2024. Turut hadir Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi (kanan). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Tiket kejohanan badminton Asia mula dijual, 15 negara berentap

SHAH ALAM, 25 JAN: Beberapa negara besar dalam sukan badminton antaranya China, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia Selangor (SELBATC) 2024 bulan depan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata secara keseluruhan, kejohanan edisi kelima berlangsung dari 13 hingga 18 Februari melibatkan 15 negara termasuk disertai pemain bertaraf dunia.

“Tiket kejohanan sudah mula dijual dan boleh dibeli secara dalam talian di laman sesawang rasmi kejohanan iaitu www.selbatc2024.com,” katanya di FacebooK.

SELBATC 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam menampilkan 26 pasukan melibatkan kira-kira 300 pemain termasuk pemain negara yang dijangka beraksi ialah Lee Zhii Jia dan Aaron Chia bersama Soh Wooi Yik.

Pemain ternama lain antaranya Jepun (Akane Yamaguchi dan Kento Momota), China (Li Shifeng, Chen Yu Fei), India ( Prannoy HS, PV Sindhu), dan Indonesia (Anthony Sinisuka Ginting, Jonathan Christie) juga bakal berentap.

Pada 2022, Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Pasukan lelaki negara menjadi juara selepas menewaskan Indonesia 3-0 manakala skuad wanita di tempat ketiga selepas tewas 0-3 kepada Korea Selatan.


Pengarang :