Beberapa klip rakaman litar tertutup di rumah sampah menunjukkan sikap beberapa individu tidak bertanggungjawab membuang dan membakar sampah di tempat tidak dibenarkan. Foto Facebook MPHS
PBTSELANGOR

Tindakan tanpa kompromi buang, bakar sampah di tempat awam

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 9 JAN: Individu yang membuang atau membakar sampah di tempat tidak dibenarkan bakal berdepan tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Amaran itu berikutan perbuatan segelintir pihak yang melakukan perkara tersebut berdekatan medan selera Batang Kali, hingga menimbulkan kacau ganggu terhadap pengunjung dan penduduk berhampiran.

Menurut pihak berkuasa tempatan tersebut di Facebook, tindakan berkenaan terbongkar setelah meneliti rakaman litar tertutup di tapak rumah sampah berhampiran lokasi terbabit.

“Kemudahan rumah sampah dan tong sampah yang diletakkan tidak digunakan dengan baik, malah individu seperti mereka ini lebih gemar membuang sisa merata-rata.

“Pihak MPHS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada pihak yang membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya di laman sosial terbabit.

Menurutnya, perbuatan membuang sampah di tempat awam merupakan kesalahan bawah Undang-Undang Kecil pemungutan, pembuangan dan pelupusan sampah sarap (MDHS) 2007.

Jelas PBT tersebut, individu yang disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya termasuk kompaun tidak lebih RM1,000.

Orang ramai yang melihat perbuatan itu diminta melaporkan ke Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MPHS di talian 03-6064 1050 atau e-mel [email protected].

 

 

 


Pengarang :