Deretan kereta Volkswagen, Mercedes, BMW dan Audi yang musnah dalam kebakaran sebuah bengkel di Jalan Pahlawan, Bintawa, Kuching awal pagi 9 Januari 2024. Foto Facebook Sarawak Viral News
AGENDANASIONAL

Tujuh kereta mewah musnah dalam kebakaran bengkel di Kuching

KUCHING, 9 JAN: Sebanyak tujuh kenderaan mewah musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah bengkel di Jalan Pahlawan, Bintawa di sini awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 4.50 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan lapan kereta mewah yang berada di dalam garaj bengkel terbabit. Empat kenderaan (jenis Volkswagen, Mercedes, BMW dan Audi) telah terbakar 100 peratus, manakala tiga kenderaan (dua Mercedes dan sebuah BMW) terbakar 50 peratus.

“Sebuah kenderaan (Volkswagen) berjaya diselamatkan. Kebakaran tidak melibatkan kemusnahan struktur bangunan dan telah dapat dikawal pada 5.28 pagi,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

-BERNAMA


Pengarang :