Penggunaan tenaga yang cekap amat penting dan boleh mengurangkan bil elektrik bulanan isi rumah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tunggakan bil elektrik cecah RM2 juta, penduduk pangsapuri lapor polis

SHAH ALAM, 14 JAN: Beberapa penduduk sebuah pangsapuri kos rendah di Bandar Tasik Selatan membuat laporan polis berhubung tunggakan bil elektrik mencecah RM2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata pihaknya menerima 17 aduan terhadap Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan 1, lapor Berita Harian.

Menurut Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, aduan pertama diterima Khamis lalu selepas penduduk menerima notis pemotongan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di semua lima blok A hingga E.

“Pengadu mendakwa tiada pembayaran dibuat sejak 31 Januari 2022 sedangkan penduduk membuat bayaran yuran penyelenggaraan RM50 sebulan bagi setiap unit rumah kepada pihak JMB.

“Ekoran tunggakan itu, pengadu mengesyaki terdapat penyelewengan wang oleh pengerusi JMB, seterusnya membuat laporan polis,” katanya.

Ramli menambah, kes tersebut juga telah diadukan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) Kuala Lumpur sejak Julai 2022 dan sehingga kini masih dalam proses tindakan susulan.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai ‘refer other agency (ROA) kepada COB memandangkan kes menjurus kepada bidang kuasa pesuruhjaya itu.

“Ia membabitkan kesalahan membabitkan Seksyen 140 Akta Pengurusan Strata 2013 berhubung kesalahan oleh pertubuhan perbadanan,” katanya.


Pengarang :