AGENDAJENAYAH

Ugutan ‘pegawai kanan’ polis punca pesara rugi lebih RM540,000 ditipu sindiket

JOHOR BAHRU, 10 JAN: Lelaki warga emas berputih mata apabila kerugian RM540,047.97 selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian yang mendakwa nama mangsa terdapat dalam rekod jenayah.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pesara syarikat swasta berusia 75 tahun itu menerima panggilan telefon melalui aplikasi WhatsApp November lalu yang disambungkan kepada individu mendakwa dirinya anggota polis.

“Individu itu memberitahu terdapat rekod jenayah didaftarkan atas nama mangsa dan panggilan seterusnya disambungkan kepada individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis menyatakan pengadu akan ditangkap dan direman.

“Mangsa seterusnya ditawar membuat laporan secara dalam talian, disebabkan takut mangsa mengikut arahan suspek dengan mengeluarkan wang daripada akaun miliknya dan memasukkan wang itu ke dalam akaun lain yang juga milik mangsa berjumlah RM543,000 bagi menyelesaikan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata mangsa juga mengikut arahan suspek untuk meletakkan dan meninggalkan kad mesin juruwang automatik (ATM) berserta nombor pin akaun di lokasi diarahkan.

Beliau berkata pada mulanya, mangsa tidak curiga, namun pada awal bulan ini, lelaki itu mulai risau apabila semakan dalam akaun banknya mendapati terdapat transaksi pindahan keluar wang ke beberapa penama yang tidak dikenali dengan jumlah keseluruhan RM540,047.97.

“Pengadu syak ditipu sebelum membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kamarul Zaman berkata polis menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan selain disaran mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan modus operandi jenayah komersial.

“Selain itu, orang ramai diseru agar menggunakan perkhidmatan dalam talian ‘semak mule’ sebelum membuat sebarang pembayaran serta muat turun aplikasi ‘whoscall’ bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan, sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997 dengan segera,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :