Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan meninjau salah sebuah kelas di blok SMK Tinggi Kajang yang dinaik taraf menerusi Projek Mesra Rakyat pada 19 Januari 2024. Foto ihsan Pejabat Parlimen Bangi
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat agih RM100,000 baiki blok usang SMK Tinggi Kajang

SHAH ALAM, 20 JAN: Ahli parlimen Bangi memperuntuk RM100,000 untuk membaik pulih sebuah blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang menerusi Projek Mesra Rakyat.

Syahredzan Johan menjelaskan blok itu yang memiliki empat kelas perlu dinaik taraf segera berikutan keadaannya yang semakin daif selain mengancam keselamatan pelajar.

Beliau berkata projek selenggara termasuk menggantikan gril dan siling berlubang, mengecat dan membaiki lantai serta dijangka boleh digunakan sepenuhnya minggu depan.

“Sekolah ini terkenal dan berusia lebih 100 tahun. Saya difahamkan blok ini tidak digunakan sejak empat tahun lalu kerana rosak dan pelajar ditempatkan ke kelas sementara,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah beberapa sekolah lagi bawah kawasannya akan menerima manfaat sama secara berperingkat bagi memastikan pelajar memiliki persekitaran kondusif.

“Bantuan naik taraf ini diagih sejak 2023. Hasrat saya hanya satu iaitu menumpukan perkara asas seperti sekolah kerana pendidikan penting untuk generasi akan datang,” katanya.

 


Pengarang :