Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat tumpu tingkat imej Seri Kembangan lokasi pelancongan, jana ekonomi setempat

SHAH ALAM, 2 JAN: Usaha membina identiti Seri Kembangan menerusi aktiviti pelancongan yang bakal menjana ekonomi setempat antara tumpuan wakil rakyatnya tahun ini.

Wong Siew Ki berkata keistimewaan dimiliki kawasan itu seperti Kampung Baru Seri Kembangan yang merupakan kampung baharu terbesar di Malaysia sesuai bagi pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan.

“Di Kampung Baru Seri Kembangan terdapat 2,000 rumah dengan sejarahnya tersendiri yang boleh dikembangkan sebagai kawasan tarikan pelancongan.

“Antara aktiviti sesuai seperti inap desa untuk pelancong peluang mengenali budaya masyarakat Cina di Malaysia serta mampu memberi kesan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya kepada Selangorkini.

Selain itu Siew Ki berkata pihaknya juga akan menganjurkan program kebudayaan bersiri dengan pelbagai pengisian termasuk aktiviti jualan yang akan mempromosi kawasan tarikan di Seri Kembangan.

“Mungkin masih ramai yang tidak tahu Seri Kembangan suatu masa dulu adalah kawasan industri yang dipenuhi dengan kilang kasut selain itu kita juga ada kilang coklat di sini,” katanya.

Kerajaan Negeri pada tahun lalu menganjurkan Festival Kampung Baharu Selangor yang bertujuan mempamerkan dan memperkenalkan produk bersejarah seperti sejarah kampung, hasil seni dan kraftangan dari 77 kampung baharu sekitar Selangor.


Pengarang :