Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan sumbangan tunai kecemasan kepada sebuah keluarga mangsa kebakaran di Kg Perigi Nenas, Pulau Indah pada 10 Januari 2024. Foto Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan – YIDE
AGENSISELANGOR

Yide santuni mangsa kebakaran, serah bantuan tunai, pek barangan keperluan harian

SHAH ALAM, 11 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan sumbangan tunai kecemasan kepada keluarga mangsa kebakaran di Kg Perigi Nenas, Pulau Indah, semalam.

Agensi itu menerusi Facebook berkata pihaknya turut menyerahkan Pek Kasih Yide yang mengandungi barangan keperluan harian bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

“Sumbangan diserahkan oleh pemangku Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan Yide, Muhammad Zubair Azizan.

“Yide menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menyalurkan infaq dana musibah. Hari ini Yide telah menyerahkan sumbangan kalian kepada orang yang berhak,” katanya.

Kejadian kebakaran pada 7 Januari lalu itu dipercayai berlaku akibat litar pintas. Beberapa barang dan perabot milik mangsa musnah, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam perkembangan lain, Yide mempelawa orang ramai untuk menyumbang ke Infaq Dana Musibah Malapetaka Yide melalui aplikasi infaqYIDE untuk disalurkan yang terjejas melalui pautan https://pay.infaqyide.com.my/…/infaq-dana-musibah atau; https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/

“Setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, dan semestinya setiap sumbangan anda dapat mengukirkan senyuman setiap mangsa yang kami santuni,” katanya.


Pengarang :