Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), pada 19 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

10 anggota polis disiasat susulan penemuan RM3,753 dalam beg, kereta dinaiki

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Seramai 10 anggota polis termasuk sarjan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya disiasat susulan penemuan wang tunai RM3,753 dalam beg dan kereta mereka ketika sekatan jalan Op Alkohol dilakukan pagi tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata wang tunai berkenaan ditemui selepas pemeriksaan mengejut yang dijalankan pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman pada 2.30 pagi.

“Pemeriksaan menemukan wang tunai RM3,313 seorang daripada anggota berpangkat sarjan dan RM440 dalam kereta mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hussein berkata satu kertas siasatan tatatertib dibuka susulan pemeriksaan dan laporan berkenaan bagi mengenal pasti jika terdapat perbuatan rasuah atau pelanggaran prosedur trafik.

“Semua anggota yang terlibat juga telah dikeluarkan daripada bahagian penguatkuasaan trafik hingga siasatan selesai,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :