Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan semasa sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Aidilfitri Peringkat Kontinjen Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam pada 20 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

10 polis terlibat penemuan lebih RM3,000 ditugas kerja pentadbiran

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Sepuluh anggota polis yang ditahan susulan penemuan wang tunai berjumlah RM3,753 di dalam beg dan kereta mereka, semasa mereka menjalankan sekatan jalan raya dalam Op Alkohol semalam, kini ditempatkan di bahagian pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata penukaran penugasan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan terhadap mereka selesai dilakukan.

“Siasatan dalaman dijalankan, kita buat penguatkuasaan dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri supaya anggota yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang, sama ada jalan raya atau sewaktu operasi pencegahan jenayah, mematuhi SOP.

“Anggota yang berada di penugasan ini ada jumlah tertentu wang yang boleh dibawa, dan sekiranya melebihi daripada yang dibenarkan, mereka perlu isytihar,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Advokasi peringkat Kontinjen Selangor sempena Perayaan Tahun Baharu Cina, di Plaza Tol Puchong Selatan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya ia melibatkan jumlah yang besar, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti wang berkenaan adalah milik anggota, atau hasil elemen-elemen negatif.

Beberapa media sebelum ini melaporkan 10 anggota polis trafik sebuah daerah di Selangor disiasat berhubung penemuan wang tunai RM3,753 dalam beg dan kereta peronda mereka, ketika mereka menjalankan sekatan jalan raya dalam Op Alkohol awal pagi semalam.

Mereka terdiri daripada seorang pegawai berpangkat Inspektor dan sembilan anggota lain-lain pangkat termasuk sarjan, koperal, lans koperal dan konstabel.

Hussein berkata satu kertas siasatan tatatertib sudah dibuka bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen rasuah atau sebaliknya.

Sementara itu, dalam usaha menghapuskan elemen negatif dalam pasukan, beliau berkata 575 anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal lain-lain pangkat akan ditukarkan ke unit lain di seluruh Selangor berkuat kuasa hari ini.

Hussein berkata penukaran itu membabitkan pegawai rendah berpangkat sarjan dan ke bawah yang bertugas melebihi enam tahun.

-BERNAMA


Pengarang :