Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid (tengah) bergambar bersama penerima pada Program Bantuan Masuk Sekolah SiManja Tawas yang diadakan di Dewan Kekwa MBSA, Seksyen 17, Shah Alam pada 18 Februari 2024. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN
ADNSELANGOR

1,200 ahli Tawas DUN Batu Tiga terima bantuan masuk sekolah

SHAH ALAM, 18 FEB: Seramai 1,200 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima manfaat Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS).

Wakil rakyatnya Danial Al-Rashid Haron berkata bantuan persekolahan seperti beg sekolah, kelengkapan alat tulis, bekas makanan dan tabung telah diserahkan kepada 600 ahli setakat ini.

“Setelah sebulan kaunter untuk tuntutan dibuka di pusat khidmat DUN, hari ini kami anjurkan program serahan di Dewan Kekwa pada hujung minggu untuk memudahkan urusan tuntutan ibu bapa yang mempunyai kekangan masa.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid (dua dari kiri) menyampaikan beg sekolah kepada penerima pada Program Bantuan Masuk Sekolah SiManja Tawas yang diadakan di Dewan Kekwa MBSA, Seksyen 17, Shah Alam pada 18 Februari 2024. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN

“Kami sasar semua tuntutan selesai sebelum sesi persekolahan dibuka semula pada 11 Mac ini,” katanya ditemui selepas program penyerahan bantuan tersebut di Dewan Kekwa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Danial menambah bantuan bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak selain melancarkan persiapan kepada kanak-kanak yang akan memasuki darjah satu.

Sementara itu penerima bantuan, Hamuni Muhamad, 35, berkata bantuan tersebut menjimatkan perbelanjaan keperluan sekolah anakya, Muhammad Ziqri Harith, 7, sebanyak RM150.

“Bantuan ini meringankan beban memandangkan kos keperluan sekolah makin tinggi. Ia memudahkan urusan untuk anak saya yang bakal memasuki darjah satu di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Medan. Saya harap inisiatif ini akan diteruskan,” katanya.

Bagi Norhayati Said, 38, bantuan menunjukkan keperihatinan Kerajaan Negeri membantu anak-anak Selangor mendapat kemudahan pendidikan.

Penerima, Norhayati Said, 38 pada Program Bantuan Masuk Sekolah SiManja Tawas yang diadakan di Dewan Kekwa MBSA, Seksyen 17, Shah Alam pada 18 Februari 2024. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN

“Jelas anak saya sungguh gembira menerima beg sekolah baharu sebelum beliau mendaftar masuk darjah satu di Sekolah Rendah Kebangsaan Seksyen 24,” katanya.

Suri rumah Kavitha Govindasamy, 42, berkongsi ini adalah kali ketiga beliau menerima bantuan ini dan berasa gembira kerana sumbangan dapat menjimatkan perbelanjaan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak.

Sebelum ini Yawas meminta ibu bapa atau penjaga kepada ahli Tawas kelahiran 2017 yang bakal memasuki tahun satu tahun depan mengemas kini maklumat untuk agihan bantuan.

Tawas antara program kebajikan negeri dilancarkan pada 2008 terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan perlu didaftar sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli menerima RM1,500 apabila berusia 18 tahun.


Pengarang :