Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bersama Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (dua dari kiri) pada sesi taklimat khas kepada ketua pengarang media dan sidang media mengenai Pangkalan Data Utama (PADU) pada 29 Disember 2023. Foto Facebook Kementerian Ekonomi
AGENDANASIONAL

2.69 juta sudah daftar Padu, Selangor antara lima negeri tertinggi

BACHOK, 7 FEB: Sebanyak 2.69 juta individu sudah membuat pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) di seluruh negara setakat semalam, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata lima negeri iaitu Sarawak, Selangor, Johor, Perlis dan Kelantan merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi sejak sistem itu dilancarkan 2 Jan lepas.

“Seramai 191,078 atau 15 peratus penduduk Kelantan telah mendaftar Padu setakat semalam.

“Selain itu pendaftaran tinggi turut direkodkan di Johor iaitu 270,000 orang dan lebih 100,000 di Perlis, Sarawak dan Selangor juga merekodkan jumlah pendaftaran yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau proses pendaftaran Padu di Pusat Ekonomi Digital (Pedi) Mahligai, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kelantan Fareza Mohamed Sani.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata berdasarkan rekod yang dicatatkan itu pihaknya berkeyakinan sasaran tiga juta individu untuk mendaftar Padu akan dicapai dalam tempoh masa terdekat.

Beliau berkata sebanyak 911 Pedi seluruh negara turut menyediakan perkhidmatan membantu penduduk membuat kemas kini dalam sistem Padu.

“Pendaftaran Padu akan dibuka sehingga 31 Mac depan, berdasarkan gerak kerja yang dilaksanakan kami yakin dalam tempoh sebulan lebih ini, tahap kesedaran mengenai Padu semakin tinggi dan pendaftaran akan terus meningkat.

“Saya melihat bila angka pendaftaran semakin meninggi orang yang berdaftar itu akan memberi penerangan kepada yang lain sebab mereka akan saling bertanya,” katanya.

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

– BERNAMA


Pengarang :