Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina di Kompleks 3k, SS13, Subang Jaya pada 9 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

2,000 ekor ayam sehari, pelbagai barangan asas di program Madani Rakyat

SHAH ALAM, 22 FEB: Sebanyak 2,000 ekor ayam sehari akan dijual di Jualan Ehsan Rahmah (JER) sempena program Madani Rakyat di Kuala Selangor bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata jualan selama tiga hari berturut-turut itu merupakan sebahagian daripada tarikan pengunjung program berkenaan.

“Kali ini kita bawa 2,000 ekor ayam, ikan 800 paket, daging 800 paket, telur 1,200 papan, beras 1,200 kampit dan minyak 144 botol. Semua ini akan disediakan setiap hari bermula esok.

“Istimewanya kali ini kita jual bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Jadi orang ramai boleh dapatkan barangan keperluan harian dengan lebih mudah dan selesa,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut Dr Mohamad Khairil, PKPS turut menyediakan 1,700 minyak paket satu kilogram selain pelbagai produk lain seperti biskut, sos, kicap, cili giling dan sebagainya.

“Mari dapatkan pelbagai barangan keperluan pada harga lebih murah di JER sempena program Madani Rakyat di Kompleks Sukan Kuala Selangor bermula esok sehingga Ahad ini,” katanya.

Program Madani Rakyat anjuran Pejabat Perdana Menteri merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Stadium Bukit Jalil Disember lalu.

Progam tersebut turut dianjur bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminanan Makanan (KPKM) selain membabitkan Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Majlis penutup Program Madani Rakyat Zon Tengah dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari ini.


Pengarang :