Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Anugerah Khas MPKK Terbaik kepada Ketua Kampung Sungai Apong, Sabak Bernam Mohd Shah Razad Abd Ghani sempena Majlis Apresiasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 13 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

29 penghulu, pengerusi MPKK terima Anugerah Kampung Tradisi

SHAH ALAM, 14 FEB: Seramai 29 penghulu dan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menerima Anugerah Kampung Tradisi termasuk dua Anugerah Khas.

Anugerah disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Majlis Apresiasi MPKK di sini malam tadi.

Penerima Anugerah Khas Ikon Ketua Kampung, Mohamad Hanafiah Hussin berkata kemenangan itu hasil sokongan dan kerjasama penduduk untuk beliau memberi perkhidmatan terbaik.

Ketua Kampung Kuala Pangsu, Hulu Langat, Mohamad Hanafiah Hussin

Ketua Kampung Kuala Pangsu, Hulu Langat itu menjelaskan pelbagai usaha dilakukan tahun lalu untuk meningkatkan sumber penyaluran air bersih kepada penduduk.

“Kemenangan ini menyuntik motivasi saya untuk terus beri perkhidmatan terbaik buat penduduk di kawasan.

“Fokus utama kini adalah untuk bangunkan kawasan pelancongan di Gunung Nuang. Saya rancang jalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pelancongan negeri untuk realisasikan hasrat ini,” katanya.

Seramai 27 ketua kampung memenangi Anugerah Kampung Tradisi setiap daerah yang membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil serta plak.

Penerima Anugerah Khas MPKK Terbaik Kampung Tradisi pula menerima RM1,500 manakala pemenang Anugerah Khas Ikon Ketua Kampung menerima RM300 termasuk sijil dan plak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan ketua kampung sempena Majlis Apresiasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 13 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Apong, Sabak Bernam, Mohd Shah Razad Abd Ghani berkata kemenangan buat kali kedua bagi Anugerah Khas MPKK Terbaik Kampung Tradisi mendorong beliau untuk terus memberi perkhidmatan terbaik.

“Kali pertama menang tahun 2019 dan Alhamdulilah berjaya merangkul semula anugerah ini melalui usaha penuhi kemudahan kampung tahun lalu seperti pembinaan jalan dan menara komunikasi.

“Jika dilantik semula, saya ingin membawa agenda bangunkan sektor pelancongan kawasan pantai di Sungai Apong sekali gus berpotensi melonjakkan ekonomi golongan usahawan kecil dan sederhana,” katanya.


Pengarang :