Penduduk membuat pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

3.6 juta penduduk seluruh negara sudah daftar Padu, Selangor tertinggi

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Seramai 3,683,944 warganegara dan penduduk tetap di Malaysia telah mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) setakat 21 Februari lepas.

Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan daripada jumlah itu 1,699,771 telah selesai mengemas kini dan memperakukan maklumat dan data.

“Selangor merekodkan pendaftaran tertinggi iaitu 558,115 orang, diikuti Sarawak (478,236) dan Johor (355,414),” menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai perkembangan terkini sistem Padu daripada sudut jumlah pendaftaran dan bagaimana data ini dimanfaatkan kerajaan.

Padu dilancarkan pada 2 Januari lepas dibuka kepada orang ramai untuk membuat pengemaskinian sehingga 31 Mac ini dengan fasa dua dijangka bermula pada April sehingga Jun 2024 yang akan melibatkan pembangunan algoritma mengikut keperluan use case berpandukan data dalam Padu.

Menurut kementerian itu, matlamat pelaksanaan Padu adalah untuk memantapkan tadbir urus negara bagi menambah baik perancangan dasar serta pelaksanaan program yang berpandukan data.

Selain itu, pelaksanaan Padu juga tidak hanya bertumpu kepada penyasaran semula subsidi dan bantuan tetapi turut bertujuan mengenal pasti tahap sosioekonomi rakyat dan penentuan dalam penyaluran bantuan.

– BERNAMA


Pengarang :