Sukarelawan MyCARE mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk Palestin di Beit Lahiya di Utara Gaza pada 16 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

300,000 warga Gaza diancam kebuluran susulan pengepungan berterusan Israel

JERUSALEM, 9 FEB: Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini pada Khamis memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 300,000 penduduk di utara Gaza berada di ambang kebuluran susulan pengepungan Israel yang berterusan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

“PBB telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang mengalami kebuluran di utara Gaza. Sekurang-kurangnya 300,000 orang yang tinggal di kawasan itu bergantung kepada bantuan kami untuk kelangsungan hidup mereka,” kata pegawai PBB itu menerusi platform X.

Lazzarini menambah, kali terakhir UNRWA dibenarkan menghantar makanan ke utara Wadi Gaza adalah pada 23 Januari.

“Sejak awal tahun ini, separuh daripada permohonan misi bantuan kami ke utara ditolak,” katanya.

— BERNAMA-WAFA


Pengarang :