Penduduk Palestin melihat kediaman mereka yang musnah dalam serangan Israel, di tengah-tengah gencatan senjata sementara antara Hamas dan Israel, di Khan Younis, Semenanjung Gaza pada 24 November 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

4,895 pelajar Palestin terbunuh akibat kekejaman berterusan Israel

RAMALLAH, 6 FEB: Kementerian Pendidikan Palestin berkata 4,895 pelajar terbunuh manakala 8,514 yang lain cedera sejak Israel menceroboh Semenanjung Gaza dan Tebing Barat pada 7 Okt lepas.

Daripada jumlah itu, seramai 4,851 pelajar terkorban dan 8,227 yang lain cedera di Semenanjung Gaza.

Di Tebing Barat, sebanyak 44 pelajar terbunuh, 283 cedera manakala 89 lagi ditahan, lapor Agensi Berita WAFA memetik kenyataan kementerian itu.

Menurut kenyataan itu, 239 guru dan pentadbir turut terbunuh di Semenanjung Gaza manakala 836 cedera dan lebih 71 lagi ditahan di Tebing Barat.

Seramai 620,000 pelajar masih dinafikan hak untuk ke sekolah.

Sementara itu, sebanyak 286 sekolah kerajaan dan 65 sekolah yang bergabung dengan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Semenanjung Gaza telah dibom dan dimusnahkan.

Di Tebing Barat pula sebanyak 49 sekolah rosak akibat diserang atau dimusnahkan oleh rejim Israel.

– BERNAMA-WAFA


Pengarang :