ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri menyampaikan sumbangan ketika program Jom Shopping Tahun Baharu Cina di Econsave Pandamaran, Klang pada 3 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN: Jalan Telok Gong dinaik taraf empat lorong, sepanjang enam kilometer

KLANG, 3 FEB: Projek menaik taraf Jalan Telok Gong sepanjang enam kilometer dekat sini, dijangka siap dalam tempoh empat hingga lima tahun, ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang.

Azmizam Zaman Huri berkata projek fasa satu itu melibatkan tambahan jalan satu lorong kepada empat lorong bermula dari persimpangan Glenmarie Cove sehingga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lee Min.

“Kita cuba sebaik mungkin bagi memastikan perjalanan pengguna orang ramai tidak terganggu sepanjang pelaksanaan projek memandangkan jalan itu antara laluan utama di Telok Gong.

“Saya sudah minta JKR Selangor berbincang dengan penduduk Telok Gong supaya dapat lancarkan aliran trafik ketika kerja pembinaan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan baucar jom beli-belah Tahun Baharu Cina di Pasaraya Enconsave di sini, hari ini.

Azmizam berharap projek dengan kos kira-kira RM198 juta dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan tersebut.

“Jalan di sekitar Telok Gong ini antara laluan yang mempunyai aliran trafik sangat tinggi terutama waktu puncak. Kita harap penambahan lorong akan mengatasi isu kesesakan,” katanya.

 


Pengarang :