Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dataran Parlimen pada 26 Februari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong tegas tidak layan pihak cuba ganggu gugat kestabilan politik negara

SHAH ALAM, 26 FEB: Yang di-Pertuan Agong menegaskan Baginda tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara.

Tegas Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 hari ini bertitah semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang. Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana.

“Oleh itu, Saya berharap semua ahli Yang Berhormat akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup mereka bukannya untuk kepentingan parti politik atau diri sendiri,” titah Baginda.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada 26 Februari 2024. Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Foto Facebook BERNAMA

Baginda turut mengingatkan Parlimen adalah tempat penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan adalah tidak masuk akal jika penggubal undang-undang itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat.

“Saya harap semua ahli Dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan yang mulia ini. Jaga ada dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan bukannya memaki hamun orang lain.

“Kalau tengok perangai ahli dewan sebelum ini saya pun rasa malu hendak masuk ke dewan ini,” titah Baginda.

Baginda turut bertitah yang di-Pertua kedua-dua dewan mestilah menjalankan tugas dengan tegas untuk memastikan semua pihak mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan.

“Saya berikan ‘green light’ kepada Speaker untuk ambil tindakan kepada ahli-ahli yang melampaui batas boleh kenakan ‘ban’ 14 hari jika ada yang masih degil,” titah Baginda.

Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 membuka tirainya hari ini dengan Mesyuarat Pertama bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing akan berlangsung sehingga hujung Mac dan awal April.

Mesyuarat bermula dengan Istiadat Pembukaan di bangunan Parlimen hari ini dengan titah sulung Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan takwim di laman web Parlimen, Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan berlangsung selama 19 hari sehingga 27 Mac, Mesyuarat Kedua dari 28 Jun hingga 18 Julai (15 hari), manakala Mesyuarat Ketiga dari 7 Oktober hingga 5 Disember (35 hari).

Dewan Rakyat dijadual membahaskan Usul Menjunjung Kasih titah Yang di-Pertuan Agong selama tujuh hari bermula esok sehingga 7 Mac, diikuti jawapan oleh Menteri selama empat hari, dari 11 hingga 14 Mac.


Pengarang :