Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan bergambar bersama ahli majlis selepas Majlis Pengakuan Jawatan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis di Klang pada 2 Februari 2024. Foto Facebook MPK
PBTSELANGOR

Ahli majlis Klang diseru kerap turun padang, jadi penghubung masyarakat

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 2 FEB: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Klang perlu sentiasa turun padang bertemu penduduk dan cuba menyelesaikan isu yang dibangkitkan dengan segera.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan berkata ahli majlis menjadi sebahagian sistem pentadbiran dan perlakuan mereka sama ada baik atau buruk akan memberi impak kepada PBT tersebut.

“Sebagai pendukung dasar, ahli majlis menjadi penghubung antara PBT dan masyarakat. Ahli majlis juga berperanan menggalakkan penglibatan orang ramai untuk menjayakan sebarang program atau aktiviti yang dianjurkan.

“Sekiranya timbul isu sensitif yang melibatkan kaum atau agama, ahli majlis perlu berbincang dengan PBT dan bertindak sebagai orang tengah tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” katanya ketika berucap sempena majlis angkat sumpah dan menandatangani penerimaan jawatan ahli majlis sesi 2024-2025 di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 15 individu mengangkat sumpah ahli majlis yang didahului Orang Besar Daerah Klang yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohammed Khusrin.

Mengulas lanjut, Noraini berkata setiap tindakan ahli majlis tidak boleh bercanggah dengan dasar yang diputuskan PBT.

“Ahli majlis berperanan sebagai penasihat kepada PBT iaitu memberi nasihat mengikut profesion dan kepakaran masing-masing. Ahli majlis juga diingatkan untuk peka bahawa kita semua adalah wakil atau suara rakyat untuk menyampaikan permasalahan mereka,” katanya lagi.


Pengarang :