Deretan mayat warga Palestin di pekarangan hospital Nasser di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 9 Disember 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Angka korban rakyat Palestin hampir 28,000, lebih 67,000 lagi cedera

GAZA, 9 FEB: Angka kematian warga Palestin akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 27,947 orang, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah terkepung itu pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan media, kementerian itu berkata seramai 67,459 warga Palestin cedera sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada 7 Okt lepas, lapor Agensi Berita Xinhua.

Menurut kementerian, tentera Israel membunuh 107 rakyat Palestin dan mencederakan 142 yang lain dalam tempoh 24 jam lepas dengan beberapa mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Sumber keselamatan Palestin dan saksi berkata pesawat Israel melancarkan beberapa siri pengeboman menyasarkan beberapa rumah di kawasan perumahan di Bandaraya Gaza, termasuk al-Rimal, al-Sabra, al-Zaytoun, Tal al-Hawa dan Sheikh Ajlin.

Menurut sumber, ambulans tidak dapat memasuki lokasi pengeboman kerana serangan udara dan artileri Israel selain serangan dron yang menyasarkan setiap benda yang bergerak di kawasan berkenaan.

Sementara itu, sumber perubatan berkata sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin terbunuh dalam pengeboman yang menyasarkan dua rumah di Rafah, bandar selatan Gaza.

Menurut paramedik di Khan Younis, juga di selatan Gaza, beberapa lelaki terbunuh dalam serangan artileri Israel manakala seorang lagi lelaki dan seorang warga emas terbunuh ditembak tentera rejim di Hospital Nasser di bandar itu.

Selain itu, beberapa rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat pengeboman pesawat Israel ke atas sebuah rumah di bandar Deir el-Balah di tengah Gaza.

— BERNAMA-XINHUA


Pengarang :