Sejarah Selangor 1766–1939 karangan J. M. Gullick mengisahkan pemerintahan negeri Melayu antara pertengahan abad ke-18 hingga awal abad ke-20. Foto IBDE
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Banjir besar, harimau terakhir hanyut di Kuala Lumpur

Pada awal tahun 1881, sebuah kejadian kebakaran telah memusnahkan hampir seluruh bandar.

Pondok-pondok yang memang lekeh pada asalnya dibina kembali, namun pada bulan Disember tahun yang sama air sungai melimpah, menyebabkan banjir yang menghanyutkan jambatan utama (lintasan Market Street) dan menenggelamkan sebahagian besar bandar, termasuk rumah besar Yap Ah Loy sendiri walaupun beliau cuba mencegahnya dengan membina benteng.

Di antara barangannya yang terjejas ialah meja biliard yang baru dan masih berbungkus.

Bagaimanapun Kapitan Cina ini yang tidak mudah menyerah kalah membawa masuk para buruh dari lombong bijih berdekatan untuk membina kembali Kuala Lumpur.

Keadaan kebersihan kian merosot sehinggakan sewaktu Gabenor [Frederick] Weld berkunjung pada tahun 1882, beliau melihat beberapa kumpulan buruh berkereta lembu berhempas-pulas membersihkan kotoran di jalanan yang “berpenyakit.”

Pada pertengahan dekad 1880-an, bandar Kuala Lumpur telah siap dibangunkan semula dengan menggunakan batu-bata dan jubin menggantikan kayu dan atap, manakala halaman depan bangunan diperkecilkan untuk melebarkan jalan.

Pembangunan terpaksa dilaksanakan secara bertahap dalam tempoh dua atau tiga tahun bagi meringankan permintaan terhadap bahan binaan.

Pembinaan bangunan hanya dilakukan di sebuah jalan pada satu-satu masa; apabila semua bangunan di sepanjang jalan berkenaan sudah selesai dibina, baru dimulakan pembinaan bangunan di jalan lain.

Menjelang tahun 1884, sebanyak 234 rumah siap dibina semula (atau dibina baru) dan sejumlah 214 lagi pada tahun 1885 dan tambahan 159 pada tahun 1886.

Di kawasan kerajaan, projek pembinaan semula turut dilaksanakan. Bangunan kayu lama yang dulu dibawa dari Klang dan dipasang semula di Kuala Lumpur telah digantikan dengan bangunan batu dan beratap genting yang sederhana tetapi lebih tahan lama.

Pembinaan terbesar melibatkan pejabat baru kerajaan yang menelan biaya $30,000. Pada tahun 1887, apabila pembinaan semula telah selesai, sejumlah 518 rumah batu tertegak di Kuala Lumpur dan hanya satu sahaja di antaranya yang berusia lebih lima tahun.

Menjelang tahun 1889, keadaan mengizinkan kerajaan untuk mengeluarkan larangan terhadap bangunan beratap rumbia dalam kawasan bandar.

Kesan tidak langsung daripada projek pembinaan semula ini ialah perkembangan pesat relau pembakar bata, kilang kayu dan lain-lain bahan binaan yang terletak di pinggir pekan.

Pada tahun 1888, terdapat 33 relau bata dan 16 relau batu kapur di sekitar bandar Kuala Lumpur. Kilang-kilang kayu yang menggunakan mesin pula menggantikan gergaji liang dan tangan.

Rapi dan cantik

Dua tahun sebelum itu, Weld yang menyebut bahawa bandar tersebut yang pada tahun 1882 “kotor dan menyakit mata” kini sudah bertukar menjadi “bandar Cina dan Melayu yang paling rapi dan cantik” di antara semua bandar Negeri-negeri Selat atau negeri-negeri Melayu memandangkan Kuala Lumpur mempunyai “rumah dan kedai yang indah, bercat terang dan banyak yang dihiasi ukiran dan warna keemas-emasan.”

Beberapa lama kemudian, pasukan sukarelawan bomba pula ditubuhkan oleh [Henry] Bellamy, ketua jabatan kerjaraya, dan dilengkapi dengan pam wap, tangki air dan hos panjang yang diletak di atas pedati dan ditarik oleh kuda shire yang besar dan gagah seperti pedati penarik tong arak di England.

Melihat Bellamy berdiri di atas kotak pedati, memimpin briged pemadam api ke sesuatu kebakaran, menimbulkan rasa kagum dalam benak orang ramai dan memberi keyakinan kepada mereka.

Banjir teruk terus mengancam Kuala Lumpur selama separuh abad, namun berselang-seli dalam suatu jarak waktu yang lama.

Sejak tahun 1880 dan seterusnya, laluan sungai di bandar ini telah diluruskan secara berdikit-dikit dan benteng telah dibina di tempat air selalu melimpah.

Pada tahun 1890-an, kerja-kerja tersebut telah membuka ruang untuk pembinaan gudang barangan keretapi dan bengkel kejuruteraan.

Selepas banjir besar tahun 1926 melumpuhkan banyak kawasan bandar, satu penyelesaian berkesan telah ditemui, iaitu dengan menggunakan kaedah Lornie Cut yang meminda aliran sungai di bahagian hilir bandar.

Perubahan ini diuji oleh banjir yang sekali lagi berlaku pada tahun 1930. Kali ini, air yang deras menghempas tebing-tebing tinggi dan turut menghanyutkan seekor harimau yang terjatuh ke dalam sungai—kali terakhir harimau dilihat berkeliaran dalam bandar ini.

Masalah-masalah awal tersebut telah berjaya diatasi pada tahun 1887, membolehkan wang dibelanjakan untuk projek lebih besar.

Bangunan-bangunan baru hospital telah siap dibina pada tahun 1890, manakala pembangunan landasan keretapi dan jalan raya telah dijelaskan sebelum ini.

Stesen keretapi dibina di bahagian barat tebing sungai untuk kemudahan para penumpang. Oleh kerana kedudukan stesen di tengah-tengah, landasannya menjalar menerusi bandar dan menimbulkan beberapa kesan tidak langsung.

Misalnya, pada suatu masa ada landasan merentasi pusat bandar, tempat Jalan Tan Cheng Lock kini, dan ia lebih lebar dari kebanyakan jalan lama.

Kemuncak pembangunan landasan keretapi dalam bandar ini ialah pembinaan stesen keretapi yang ada kini dan telah siap dibina pada tahun 1911.

Senibinanya yang disebut sebagai “gaya Mahometan,” meniru aliran seni bina yang serupa di India.

Gaya ini pertama kali diperkenalkan di Kuala Lumpur dalam pembinaan bangunan baru kerajaan (kini Bangunan Sultan Abdul Samad), pada 1897, sebagai usaha terancang untuk mencantikkan rupa bandar dengan membina bangunan besar, menonjol dan mempunyai rekabentuk asli.

 

Petikan muka surat 173-175 buku Sejarah Selangor, 1766-1939 terjemahan buku A History of Selangor, 1766-1939 tulisan JM Gullick. Ia boleh dibeli melalui bukuibde.com atau toko Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.


Pengarang :