Pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei ketika beraksi menentang Supanida Katethong dari Thailand pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 15 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

BATC: Skuad wanita muncul naib juara kumpulan, tewas 1-4 kepada Thailand

SHAH ALAM, 15 FEB : Skuad badminton wanita negara mengakhiri saingan Kumpulan Y sebagai naib juara selepas tewas 1-4 kepada Thailand pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Pertarungan di Pusat Konvensyen Setia City di sini itu menyaksikan Goh Jin Wei yang turun selaku pemain pertama gagal meraih mata selepas tumpas kepada Supanida Katethong 21-13, 26-24.

Beregu utama negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menjadi sandaran untuk mengutip mata buat Malaysia juga tidak kesampaian selepas dikejutkan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 22-20, 15-21, 19-21.

Berdasarkan rekod, Pearly-Thinaah pernah menumpaskan Jongkolphan-Rawinda sebanyak enam kali iaitu pada Sukan Asia 2022, Terbuka Hong Kong 2023, Indonesia Masters 2022, Piala Uber 2022, Jelajah Dunia Akhir 2022 dan Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2021.

Perjuangan skuad negara kemudian diteruskan oleh K Letshanaa yang beraksi dalam permainan ketiga, namun pemain berusia 20 tahun itu gagal menyaingi kehebatan Busanan Ongbamrungphan apabila tewas 17-21, 18-21 menjadikan kedudukan Thailand di depan dengan tiga mata.

Pasangan Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing yang turun menentang adik-beradik, Benyapa-Nuntakarn Aimsaard juga gagal mengutip mata buat negara setelah tewas 21-17, 21-18 dalam tempoh 37 minit permainan.

Perseorangan ketiga Wong Ling Ching memberi sedikit kelegaan buat skuad Maalysia apabila mengutip mata saguhati selepas menundukkan Pornpicha Choeikeewong 21-19, 15-21, 21-19.

 


Pengarang :