Gambar hiasan pelbagai matawang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Campur tangan pasaran pertukaran asing atasi ringgit merosot

SHAH ALAM, 29 FEB: Pelbagai langkah segera diambil kerajaan persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menangani kemerosotan nilai ringgit, kata menteri kewangan II.

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata BNM akan terus memantau pasaran kewangan termasuk campur tangan dalam pertukaran asing bagi membendung pergerakan mata wang yang berlebihan.

“BNM turut memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport selain meneruskan usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan untuk penyelesaian itu.

“(Ini) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya menjawab soalan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pergerakan dan kejatuhan ringgit dipengaruhi pelbagai faktor, sebahagian besarnya didorong pengukuhan dolar AS dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China.

Menurut Amir Hamzah, bank pusat AS menaikkan kadar faedah mendadak dan agresif dengan dasar utama negara jiran seperti Thailand dan Indonesia turut meningkat antara 200 ke 450 mata asas.

“Peningkatan OPR Malaysia pula hanyalah sebanyak 125 mata asas dari 1.75 peratus ke 3.00 peratus bagi tempoh sama yang mana peningkatan OPR lebih rendah berbanding negara lain boleh dikatakan sebab utama nilai ringgit menurun berbanding negara-negara tersebut.

“Kadar faedah kadar dasar semalaman (OPR) ditentukan Jawatankuasa Dasar Monetari BNM bagi mencapai mandat domestik iaitu kestabilan harga dan pertumbuhan yang mampan.

“Jika OPR dinaikkan untuk mengukuhkan ringgit, ekonomi negara akan terkesan serta pelbagai pihak terbeban dengan peminjam perlu membayar kadar faedah lebih tinggi,” katanya.

 


Pengarang :