Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad (tengah) bergambar bersama pengamal media ketika lawatan di Ladang Farm Fresh, Serdang pada 14 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Destinasi menarik giat dipromosi menjelang Tahun Melawat Selangor 2025

SERDANG, 15 FEB: Tourism Selangor giat mempromosi destinasi menarik kepada pengunjung tempatan dan luar negara menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Shah Mohamad berkata usaha itu dapat membantu Selangor mencapai sasaran lebih 5.6 juta pelancong tahun ini.

“Kita tidak menunggu lama untuk mempromosi destinasi menarik seluruh negeri kerana selain menjelang Tahun Melawat Selangor 2025, ini juga sempena Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

“Kita perlu merebut peluang Selangor terus menjadi tarikan pelancong. Bagaimanapun usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada program terokai alam semulajadi dan makanan Selangor di sini semalam.

Pengawai pengurusan Majlis Mardi Corp Norhanie Omar memberi penerangan kepada pengamal media ketika lawatan taman herba dan ladang kelulut di Taman Expo Petanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 14 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Azrul juga menyeru semua PBT memainkan peranan menghebahkan lokasi menarik di kawasan masing-masing.

“Banyak perkara hendak dilakukan dan ia memerlukan sokongan PBT. Kita ada empat bandaraya Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya dan terbaharu Klang.

“Kita berharap mereka dapat bantu promosi Selangor untuk capai sasaran 5.6 pelancong pada tahun ini,” katanya.

Sebelum ini, EXCO pelancongan memaklumkan Kerajaan Negeri menyasarkan lebih 5.6 juta pengunjung tempatan dan luar negara melawat Selangor sepanjang tahun ini.

Jelas Dato’ Ng Suee Lim, sasaran itu menghampiri tambahan sejuta pelancong berbanding tahun lalu sebanyak 4.8 juta.

Malah, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jun tahun lalu, Selangor mencatat kedatangan 22 juta pelancong domestik tahun lalu, jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.

Angka itu meletakkan Selangor sebagai negeri teratas meninggalkan Kuala Lumpur dengan 16.9 juta diikuti Sarawak (15.5 juta), Perak (14.6 juta) dan Pahang (13.2 juta).


Pengarang :