Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Dewan Negeri lulus lima usul pindaan lantikan ahli jawatankuasa

SHAH ALAM, 29 FEB: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan lima usul pindaan ahli jawatankuasa pilihan khas yang turut membabitkan wakil rakyat pembangkang.

Menerusi pindaan itu, wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah menggantikan Lee Kee Hiong (Kuala Kubu Bharu).

Dewan juga meluluskan pelantikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham sebagai ahli Jawatankuasa Pilihan Peraturan-peraturan Tetap.

Wakil rakyat Taman Medan Dr Afif Bahardin dilantik ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Turut diluluskan pelantikan ADN Sungai Panjang Mohd Razali Saari menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Perubahan Iklim, Kebajikan, Kesihatan, Pendidikan, Pembangunan Keluarga, Agama, Wanita dan Kesejahteraan Hidup.

Bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur dan Mobiliti, dewan melantik wakil rakyat Semenyih Nushi Mahfodz sebagai ahli.

Kesemua usul itu diluluskan Speaker DNS Lau Weng San selepas dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bawah Peraturan Tetap 78 setelah melalui proses perbincangan.

 


Pengarang :