Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Dua guru rugi lebih RM158,000 ditipu sindiket penipuan dalam talian

KUANTAN, 4 FEB: Dua guru kerugian lebih RM158,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian termasuk urusan pembelian barangan.

Ketua Polis Pahang Datuk Serisindiberkata mangsa berusia 51 tahun mendakwa kehilangan wang simpanan lebih RM68,700 selepas mengisi butiran peribadi bagi pembelian peranti pembayaran tol dalam talian.

“Mangsa mendakwa melihat peranti itu diiklankan di Facebook 27 Januari lalu dengan harga RM150 dan telah menghantar pesanan di laman sosial tersebut sebelum diberikan pautan untuk melengkapkan pesanan.

“Selepas mengisi semua butiran dikehendaki, mangsa mendakwa gagal membuat pembayaran di pautan itu dan dua hari kemudian, mendapati terdapat 14 transaksi pengeluaran wang dibuat tanpa pengetahuannya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dalam kes berasingan, Yahaya berkata seorang guru wanita berusia 54 tahun mendakwa kerugian RM89,450 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon 28 Ogos tahun lalu kononnya daripada kakitangan syarikat penghantaran meminta beliau menuntut barangan yang dialamatkan kepadanya.

“Mangsa menafikan sedang menunggu sebarang penghantaran, namun panggilan kononnya disambungkan ke pegawai polis yang menggertak mengatakan dirinya terlibat dalam kes dadah dan pengubahan wang haram,” katanya.

Yahaya berkata mangsa seterusnya diarahkan memindahkan wang ke empat akaun diberikan suspek atas alasan bagi menjalankan siasatan, yang dituruti mangsa kerana bimbang wang simpanannya dirampas.

Mangsa membuat laporan selepas gagal menghubungi ‘pegawai polis’ berkenaan bagi mengetahui perkembangan siasatan ke atasnya.

Orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan meragukan dan berhati-hati dalam berkongsi butiran peribadi serta menyemak nombor telefon dan nombor akaun di pautan https://semakmule.rmp. gov.my supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

– BERNAMA


Pengarang :