Dua pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Sementara Imigresen Bidor ditahan ketika berjalan kaki di kebun sawit Felda Sungai Klah, Sungkai, Tapah pada 5 Februari 2024 menjadikan 56 pendatang tanpa izin diberkas semula. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dua lagi warga asing lolos diberkas, 56 ditahan takat 2 petang

TAPAH, 5 FEB: Dua pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Sementara Imigresen Bidor ditahan sedang berjalan kaki di dalam kebun sawit Felda Sungai Klah, Sungkai di sini tengah hari tadi, menjadikan 56 pendatang tanpa izin diberkas semula setakat 2 petang ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi berkata kedua-dua tahanan lelaki etnik Rohingya berusia 18 dan 23 tahun itu ditahan anggota pasukan petugas Sungkai dan pasukan peronda polis.

Tinjauan mendapati kedua-dua tahanan itu dibawa ke lokap Balai Polis Sungkai dan Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Khamis lalu, 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki Depot Sementara Imigresen Bidor pada 9.50 malam dan dua daripadanya meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata 73 pendatang tanpa izin lagi masih diburu.

Terdahulu, beliau berkata polis percaya baki pendatang tanpa izin itu masih berada di sekitar Tapah dan Bidor berdasarkan siasatan pihaknya terhadap tahanan yang telah diberkas.

– BERNAMA


Pengarang :