Pengusaha kuih bakul, Lee Le Kim, 74, bersama dua pekerjanya, Firdaus Roslan, 34, dan Tengku Nor Iskandar Tengku Ibrahim, 24, memeriksa kuih bakul yang dihasilkan di Kuala Krai, pada 6 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua pemuda Melayu jadi tulang belakang pembuatan kuih bakul di Kuala Krai

KUALA KRAI, 7 FEB: Dua pemuda Melayu menjadi “tulang belakang” dalam pembuatan kuih bakul yang diusahakan oleh seorang warga emas, Lee Le Kim, 74, di Jalan Chin Hwa, di sini.

Firdaus Roslan, 34, berkata dia dan rakannya, Tengku Nor Iskandar Tengku Ibrahim, 24, mula bekerja dengan Lee sejak lima tahun lepas.

Hasil tunjuk ajar majikannya itu beliau kini sudah tahu selok-belok pembuatan kuih bakul bermula dari awal sehingga akhir.

“Bagi saya proses membuat kuih bakul ini tidaklah sukar namun perlukan kesabaran kerana sekiranya dibuat secara tergesa-gesa pasti tidak menjadi,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Tengku Nor Iskandar, 24, pula berkata dia mula bekerja di situ sejak 2019 dan sudah mahir menyediakan kuih tersebut.

Beliau berkata proses membuat kuih bakul itu adalah daripada bahan yang halal dan bersih, dan paling utama setiap proses perlu tepat pada masanya.

“Bagi masyarakat Cina mereka percaya ketika proses membuat kuih bakul ada pantang larangnya iaitu tidak dibenarkan bercakap banyak.

“Ada yang mendakwa jika pantang larang itu dilanggar sudah pasti kuih bakul yang dihasilkan tidak menjadi atau rosak,” katanya.

Selain dirinya dan Firdaus, katanya terdapat dua lagi pekerja berbangsa Melayu di situ selain empat pekerja berbangsa Cina.

Sementara itu, Lee yang lebih 20 tahun mengusahakan kuih bakul dengan mengikut resepi keluarga, mengakui tanpa bantuan kesemua pekerjanya itu sudah pasti tempahan sebanyak 10,000 biji tidak berjaya disiapkan.

“Kesemua pekerja saya ini ialah penduduk tempatan di sini dan sudah lama membantu setiap kali tibanya sambutan Tahun Baru Cina.

“Walaupun empat daripadanya adalah berbangsa Melayu namun mereka tidak kekok malah sudah tahu segala proses pembuatan kuih bakul daripada mula hingga akhir,” katanya.

Menurut Lee, yang lebih dikenali sebagai “Mek Ah Chai” dalam kalangan penduduk tempatan, tempahan terbanyak adalah daripada pasar raya selain penduduk di sekitar Kuala Krai.

Katanya dalam sehari jualan boleh mencecah 70 kilogram (kg) dan setiap kg dijual dengan harga RM17.

“Proses membuat kuih bakul ini perlukan kesabaran…selepas diadun tepung akan diletakkan ke dalam bekas khas dan dikukus pula selama 12 jam.

“Selepas dikeluarkan daripada dalam kukusan, kuih akan disejukkan pula selama beberapa jam. Sekiranya plastik pelapik bocor, kuih akan rosak dan menjejaskan mutu pembuatan,” katanya yang mempunyai tiga orang anak namun kesemuanya menetap di luar Kelantan.

Jelasnya selain masyarakat Cina, pembeli juga terdiri daripada orang Melayu yang telah mengetahui ‘status’ halal kuihnya yang menggunakan adunan bahan seperti tepung pulut, santan, gula merah, gula pasir dan air.

– BERNAMA


Pengarang :