Antara warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan pada 3 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dua warga asing sembunyi dalam longkang antara ditahan dalam Op Bersepadu

SERDANG, 3 FEB: Dua lelaki warga Bangladesh nekad bersembunyi lebih dua jam di dalam longkang sebelum ditahan Jabatan Imigresen dalam Operasi Bersepadu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini yang dijalankan bermula 3 pagi tadi.

Seorang daripada lelaki itu berkata dia takut dengan kehadiran anggota imigresen dan agensi keselamatan lain dan terus melarikan diri sebelum mengambil keputusan melompat ke dalam longkang terbabit.

Ketika pemeriksaan, seorang daripada mereka memiliki pasport namun permit kerja tamat tempoh dan hanya terhad untuk bekerja dalam sektor pembinaan manakala seorang lagi mempunyai dokumen pendaftaran program rekalibrasi (program khas meregularisasikan pendatang tanpa izin di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan tertakluk kepada syarat-syarat ketat).

Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin yang menyertai operasi itu berkata pihaknya memeriksa 530 warga asing terdiri daripada 504 lelaki dan 26 wanita.

“Daripada jumlah itu, warga Myanmar paling ramai diperiksa dengan 277 orang, Bangladesh (94), India (72), Indonesia (39), Nepal (15), Sri Lanka (sembilan), Pakistan (enam) dan seorang warga Vietnam.

“Kesemua tahanan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah tinggal lebih masa,” katanya.

Jumlah keseluruhan pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi itu masih belum dapat disahkan susulan pihak imigresen masih lagi menyemak dokumentasi setiap orang yang diperiksa.

Operasi yang berakhir 6 pagi itu turut melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Difahamkan pendatang tanpa izin yang ditahan itu dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor dan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih.

Sementara itu, Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihaknya mengesan lebih 10 tapak niaga atau lesen perniagaan rakyat tempatan dijual kepada warga asing (ali baba) yang menyumbang kepada lambakan dan monopoli perniagaan warga asing terbabit.

Beliau berkata kawasan yang diduduki penjaja warga asing ini sering dilihat tidak terjaga dan kotor hingga boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan keharmonian di sesuatu kawasan itu.

“Pemantauan berkala akan terus dijalankan dan tindakan tegas akan diambil iaitu lesen ditarik balik sekiranya peniaga didapati menjual lesen mereka kepada warga asing,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :