AGENDANASIONAL

Empat sekawan nyaris lemas, generator meletup punca bot dinaiki karam

GEORGE TOWN, 28 FEB: Empat lelaki tempatan nyaris lemas selepas bot dinaiki mereka karam dalam kejadian di persisiran laut berhampiran Persiaran Karpal Singh, di sini hari ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Fadzil Mohamad berkata kesemua mangsa berusia 50-an itu diselamatkan nelayan yang berada di lokasi dengan dua daripadanya mengalami kecederaan.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.40 petang.

“Sebaik tiba, bomba mendapati terdapat sebuah bot karam di persisiran laut dan tindakan kami di lokasi membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat pemantauan menyeluruh ke atas bot berkenaan. Pemeriksaan awal mendapati tiada mangsa yang terlibat.

“Tindakan selanjutnya, pihak bomba bergerak ke Jabatan Laut Wilayah Utara bagi mendapatkan maklumat terperinci status pemilikan bot dan setelah semakan dilakukan didapati pemilik bot tersebut ialah milik seorang lelaki dikenali sebagai Rusdi Sulung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan kesemua mereka dalam perjalanan ke Langkawi, Kedah dan singgah di perairan Pulau Pinang.

Fadzil berkata berdasarkan maklumal awal, bot berkenaan karam akibat generator di dalam bot meletup dan empat mangsa yang berada dalam bot berkenaan telah diselamatkan oleh nelayan.

Beliau berkata dua daripada empat mangsa cedera dan menerima rawatan di klinik berhampiran manakala dua lagi mangsa tidak mengalami kecederaan.

— BERNAMA


Pengarang :