AGENDAJENAYAH

Enam individu menyamar polis, samun rumah warga asing ditahan

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Enam lagi lelaki ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dalam kes samun berkumpulan dengan senjata dan menyamar sebagai anggota polis, di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah, Ampang, pada 22 Februari.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail dalam kenyataan hari ini berkata kesemua suspek iaitu dua lelaki dan empat wanita termasuk dua daripadanya warga asing berusia 36 hingga 50 tahun ditahan di sekitar ibu negara pada Isnin lepas dan semalam.

Beliau berkata penahanan kesemua suspek itu yang menjadikan keseluruhan 10 orang ditahan hasil soal siasat empat suspek yang telah ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Katanya polis turut merampas enam telefon bimbit, satu rantai leher dan dua cincin warna kekuningan disyaki barang samun bagi membantu siasatan.

“Semakan lanjut mendapati empat suspek mempunyai enam hingga 16 rekod lampau termasuk seorang daripadanya mempunyai satu rekod dikehendaki atas kesalahan jenayah manakala dua lagi suspek warga asing tiada rekod lampau.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine serta Amp, dan kesemua mereka kini direman sehingga 4 Mac depan,” katanya .

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah, dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan merujuk kepada kesalahan menyamar sebagai penjawat awam.

Media sebelum ini melaporkan empat lelaki berumur 30 hingga 44 tahun ditahan pada 23 Feb lepas kerana disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan dengan senjata dan menyamar sebagai anggota polis, di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah, Ampang.

Penahanan dibuat susulan aduan seorang lelaki warga Bangladesh yang mendakwa terdapat sekumpulan lelaki yang memakai ‘vest polis’ dan membawa ‘gunting besar’ serta tukul, telah masuk ke rumah berkenaan dan mengarahkan dia bersama tujuh orang lagi yang berada di rumah berkenaan berkumpul di ruang tamu sebelum menggeledah dan mengambil barang serta wang tunai.

– BERNAMA


Pengarang :