Enam kumpulan yang layak ke pertadingan akhir bergambar selepas Pertandingan Seni Warisan Cempuling 2024 peringkat separuh akhir di Auditorium MBSA, Shah Alam pada 3 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Enam kumpulan mara ke final Pertandingan Seni Warisan Cempuling Mei ini

SHAH ALAM, 4 FEB: Sebanyak enam kumpulan menempa tempat ke pusingan akhir Pertandingan Seni Warisan Cempuling selepas memenangi saingan separuh akhir di Auditorium MBSA di sini semalam.

Penerbit Pertandingan Nor Azarida Mahad berkata kesemua mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan dijadual berentap dalam pusingan akhir pada Mei.

Penerbit Pertandingan Seni Warisan Cempuling 2024 Nor Azarida Mahad. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Pertandingan ini adalah antara usaha membantu Kerajaan Selangor untuk memperkenalkan dan memartabatkan lagi seni muzik cempuling sebagai imej atau identiti negeri.

“Alhamdulillah, sambutan memberangsangkan dengan 14 pasukan dari pelbagai peringkat usia mengambil bahagian. Hari ini enam daripadanya layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung pada Mei” katanya ditemui selepas pusingan separuh akhir pertandingan berkenaan.

Enam pasukan berkenaan adalah Floria Harmoni, Cempuling Seri Rantau, Warisan Irama Damai, Suara Cempuling Sungai Kajang Tanjong Karang, Damar Wulan dan Gemala Kusiss.

Kumpulan Gemala Kusiss membuat persembahan ketika pertandingan separuh akhir Seni Warisan Cempuling 2024 di Auditorium MBSA, Shah Alam pada 3 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut Nor Azarida, program anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu bakal diperluas bagi menarik lebih ramai golongan muda.

“Tahun lepas RTM mulakan dengan pameran seni muzik cempuling kemudian kita anjurkan sesi uji bakat dan tahun ini ia diteruskan dengan pertandingan,” katanya.

Pada 9 Jun tahun lalu, Selangor mempromosi seni cempuling ke Indonesia menerusi program Silang Budaya yang membuka peluang masyarakat negara itu mengenali seni dan muzik asli Selangor.

Bertempat di Malaysia Hall Jakarta, persembahan seni cempuling dan muzik asli Selangor dari Kumpulan Tunas Cempuling dan Muzik Asli Sri Kenchana menarik minat peserta dari Indonesia dan mahu mendalami kedua-dua seni budaya itu dengan lebih terperinci.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah bertemu Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin / Syed Hussin pada program Silang Budaya ke Indonesia di Malaysia Hall Jakarta pada 9 Jun 2023. Foto Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjung Sepat

Pengarang :