Ahli Dewan Negeri Seri Setia Dr Fahmi Ngah berucap pada program Khatan Perdana 2024 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya pada 17 Februari 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Hormati titah Sultan Selangor, elak politikkan keputusan Mahkamah Persekutuan

PETALING JAYA, 17 FEB: Semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu akur dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang meminta semua menghormati keputusan mahkamah persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

EXCO Agama berkata cadangan boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

Dr Fahmi Ngah memaklumkan proses jawatankuasa khas yang ditubuh bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) perlu dijadikan sebagai ruang perbahasan memberi saranan dan idea bagi mencari kaedah memperkasa kompetensi Badan Perundangan Negeri mengikut tempoh setahun yang diberikan.

“Tujuan asal penubuhan jawatankuasa khas MKI untuk menyelesaikan isu pertindanan antara undang-undang persekutuan dan syariah negeri yang perlu dimanfaat oleh semua pihak sebagai platform membincangkan isu berkaitan kompetensi secara terperinci.

“Mewakili negeri Selangor, dua representasi dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berada dalam Jawatankuasa Khas MKI akan terlibat dalam perbahasan dan mengkaji kaedah untuk sebarang cadangan dan penambahbaikan yang perlu dibuat,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Khatan Perdana 2024 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Pada 15 Februari lalu, Sultan Sharafuddin yang mempengerusikan MKI ke-71 bertitah mengenai kepentingan usaha mencari jalan mengatasi isu itu dengan mengkaji kaedah memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan sebagai batal dan tidak sah.

Berikutan itu, Baginda menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari jawatankuasa khas berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Fahmi turut mengingatkan orang ramai tidak mempolitikkan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar enakmen jenayah syariah Kelantan.

“Isu ini tidak perlu dijadikan polemik dan dipolitikkan kerana ia membabitkan aspek perundangan. Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan undang-undang syariah akan dilindungi.

“Mengikut penghakiman, keputusan Mahkamah Persekutuan juga tidak menyentuh atau merendahkan martabat Mahkamah Syariah dan kuasa negeri untuk menggubal jenayah syariah yang membabitkan perihal agama Islam,” katanya.


Pengarang :