EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin (tengah) menerima cek cura daripada Pengarah Eksekutif Kumpulan BP Healthcare, Lovy Beh (kanan) bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 5 Februari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Kit ujian kendiri Covid-19 bantu cegah penularan musim cuti sekolah, perayaan

SHAH ALAM, 5 FEB: Kerajaan Negeri menerima 20,800 unit kit ujian kendiri Covid-19 percuma daripada BP Healthcare Group yang akan diedarkan ke pusat khidmat masyarakat seluruh Selangor.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata kit ujian kendiri dengan nilai RM104,000 itu diterima sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat penjagaan kesihatan terbesar Malaysia itu.

“BP Healthcare Group menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pejabat saya sebagai inisiatif untuk membantu mengawal dan mencegah jangkitan Covid-19 pada musim cuti sekolah dan perayaan.

“Langkah ini juga selari dengan langkah disarankan Kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang media di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.


EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin pada sidang media di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 5 Februari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Menurut Jamaliah, pihaknya sudah mengedarkan kit ujian kendiri ke 25 pusat khidmat masyarakat dengan masing-masing menerima anggaran 800 unit.

Jelasnya edaran tersebut sebagai langkah persediaan sekiranya jangkitan Covid-19 merekodkan peningkatan mendadak di Selangor khususnya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kes Covid-19 mencatatkan peningkatan membimbangkan ketika musim cuti dan perayaan. Jadi kita ambil langkah berjaga-jaga supaya semua orang melakukan ujian sendiri,” katanya.

Jamaliah turut mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk swasta, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas ini demi kesejahteraan warga Selangor.

“Kerjasama ini mencerminkan pendekatan terbuka yang diambil Kerajaan Negeri dalam menerapkan model kerjasama awam-swasta (PPP) sebagai langkah inovatif dalam sektor kesihatan,” katanya.


Pengarang :