EXCO Sukan Najwan Halimi bersenam bersama peserta sebelum program larian Langkah Ceria sejauh 4 kilometer di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Galak aktiviti sihat, lebih 1,000 sertai larian santai sejauh empat kilometer

KUALA SELANGOR, 24 FEB: Lebih 1,000 peserta menyertai acara larian santai sejauh empat kilometer di Stadium Kuala Selangor di sini, hari ini.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata program Langkah Ceria Kuala Selangor 2024 itu diadakan sempena program Madani Rakyat Zon Tengah selain menggalakkan masyarakat untuk bersenam.

“Program ini terbuka kepada semua, bersifat santai dan merupakan salah satu inisiatif untuk tarik penglibatan masyarakat khususnya anak muda.

“Tahniah kepada pihak penganjur kerana turut libatkan acara riadah dan sukan dalam program Madani Rakyat Zon Tengah,” katanya kepada Selangorkini.

Najwan yang melakukan gimik pelepasan peserta turut berkesempatan menyertai larian berkenaan dan berjaya menamatkannya dalam tempoh 25 minit.

Selain larian santai, program tersebut turut diserikan dengan aktiviti senamrobik dan hadiah cabutan bertuah.

EXCO Sukan Najwan Halimi melakukan gimik pelepasan peserta larian Langkah Ceria sejauh 4 kilometer di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, kakitangan swasta, Saiful Shahrin Abu Bakar, 38, mencuri perhatian orang ramai apabila menyertai larian santai dengan hanya mengenakan kain pelekat.

Menurutnya pemakaian kain pelekat itu dibuat berikutan beliau sebelum itu menyertai program Solat Subuh Macam Jumaat di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini.

“Saya baru pulang dari masjid dan selepas itu tergerak hati pula mahu sertai larian santai ini. Saya rasa seronok juga dapat pakai kain pelekat semasa lari, lebih selesa,” katanya.

Kakitangan swasta, Saiful Shahrin Abu Bakar, 38, mencuri perhatian orang ramai apabila menyertai larian santai dengan hanya mengenakan kain pelekat. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

 


Pengarang :