SHAH ALAM, 27 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengekalkan garis panduan sedia ada supaya murid memakai pakaian seragam dua hari seminggu untuk sesi persekolahan akan datang.
Bagaimanapun, timbalan menterinya berkata keputusan lain akan diambil jika cuaca panas ekstrem berlaku berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), lapor Berita Harian.
“Setakat ini, arahan berkenaan masih kekal seperti yang diumumkan menteri KPM Januari lalu, iaitu dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum.
“Bagaimanapun, sekiranya cuaca panas bertambah serius, kita akan berbincang dan dapatkan input daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan MetMalaysia,” kata Wong Kah Woh.
Sebelum ini, MetMalaysia meramal sebanyak 12 kawasan di empat negeri bakal mengalami suhu panas tahap berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah celsius.
Kawasan berkenaan termasuk Perlis dan beberapa kawasan di Kedah iaitu Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap Sik, Baling serta Kulim.
Cuaca panas yang dilaporkan sekurang-kurangnya tiga hari itu diramalkan turut melanda Kuala Kangsar, Perak dan Beaufort, Sabah.