KUALA SELANGOR, 25 FEB: Usaha menyebar luas lebih 40 inisiatif ditawar Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat dipergiat melalui penggunaan media sosial dan pempengaruh.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata medium itu berperanan penting dalam meningkatkan pemahaman rakyat berhubung manfaat bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP).
“Sebagai contoh program ISP yang mempunyai 47 hingga 48 program untuk bayi hingga meninggal dunia. Ruang untuk orang faham secara terperinci kadang-kadang agak terhad.
“Sukar atau tidak kita kena berinteraksi dan cuba sedaya upaya menyantuni rakyat melalui media sosial. Kita juga harap kehadiran pempengaruh dapat memastikan maklumat itu sampai kepada golongan sasar.
“Ia secara tidak langsung dapat memupuk komunikasi berkesan antara Kerajaan Negeri dan rakyat,” katanya dalam sesi dialog selepas merasmikan Program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/PSX_20240225_123859-500x333.jpg)
Amirudin juga mengakui cabaran untuk menyampaikan maklumat berkenaan di kawasan bandar yang mempunyai populasi kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan rakyat Selangor.
“Di kawasan bandar kita faham, hubungan pemimpin setempat dengan rakyat agak jauh kerana mereka mempunyai rutin sibuk,” katanya lagi.
Pada sesi dialog itu, hadirin diberi peluang untuk mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Amirudin dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.