EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Hasil kutipan cukai taksiran kediaman kampung dijangka RM11.2 juta tahun ini

SHAH ALAM, 28 FEB: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dijangka menerima hasil RM11.2 juta menerusi kutipan cukai taksiran kediaman kampung tahun ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata ia melibatkan 98,483 bilangan pegangan di seluruh negeri.

“Kerajaan Selangor meneruskan komitmen dan komited memberi pengecualian secara bersasar kepada golongan yang betul-betul memerlukan di kampung baru, kampung bagan, kampung tersusun dan kampung tradisi.

“Mereka yang merasakan beban dan layak (pengecualian cukai) boleh memohon,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari berhubung jangkaan peratus peningkatan pendapatan hasil kutipan cukai pintu kampung tradisi dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Hulu Kelang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pengecualian cukai taksiran bersasar kediaman kampung pula, Suee Lim berkata inisiatif itu bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukan menerima manfaat.

“Kita tidak mahu meneruskan legasi sebelum ini yang hanya bagi pengecualian secara pukul rata dan pukal. Ini bukan cara yang terbaik sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

“Walaupun Selangor tidak besar tapi kita mahu perbetulkan urus tadbir satu persatu. Usah khuatir sekali lagi saya tegaskan kita akan bagi (pengecualian) mereka yang layak,” katanya.

Sebelum ini, Suee Lim berkata pemilik kediaman kampung yang memerlukan dan berpendapatan sederhana akan terus menikmati pengecualian cukai taksiran tahun ini daripada Kerajaan Negeri.

Bagi memastikan program lancar, Suee Lim menjelaskan proses itu dimulakan dengan pengeluaran bil secara fizikal akhir bulan ini oleh PBT.

Menurutnya pemilik yang menepati syarat kelayakan boleh memohon mulai 1 Mac hingga 31 Mei ini dan setiap keputusan permohonan boleh disemak mulai 1 September 2024.


Pengarang :