DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kanan) diiringi EXCO Sukan Najwan Halimi (dua, kiri) menyampaikan jersi kepada Muhd Fahmi Saharil,18 (kanan) pada majlis pelancaran CSI di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya pada 27 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ikon berbasikal mahu buktikan kejayaan, imbangi pelajaran dan sukan

PETALING JAYA, 28 FEB: Atlet muda sukan berbasikal negeri berazam membuktikan kejayaannya dalam bidang itu termasuk pelajaran, sesuai dengan status sebagai Ikon Berbasikal Selangor (CSI).

Muhd Fahmi Saharil, 18, yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata kedua-dua bidang terbabit sama penting khususnya dalam menentukan masa hadapan yang cerah.

“Saya masih ada lagi kertas peperiksaan SPM yang akan dihadapi tetapi dalam masa sama masih meneruskan latihan sukan basikal minimum dua jam setiap hari pada hari biasa.

Muhd Fahmi Saharil, 18 ditemui pada majlis pelancaran CSI di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya pada 27 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Pada hujung minggu, saya berkayuh selama empat jam. Saya amat meminati sukan basikal sama banyak seperti saya suka ke sekolah,” kata anak kelahiran Klang itu kepada pemberita.

Bagi atlet Yong Ann Tung, 19, beliau mahu menggalas tanggungjawab sebagai ikon dan membuktikan kejayaannya menerusi pungutan pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini turut meluahkan rasa gembira dan berbangga kerana bakatnya dihargai Selangor Youth Community (SAY) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Yong Ann Tung, 19, ditemui pada majlis pelancaran CSI di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya pada 27 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Sasaran saya seterusnya untuk menjadi juara trek berbasikal Malaysia pada Mei ini atau sekurang-kurangnya merekodkan masa peribadi terbaik,” katanya.

Semalam, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan memperkenal empat atlet CSI termasuk Mohd Fahmi dan Ann Tung di Hotel Sunway Resort di sini.

Tengku Amir Shah juga berkenan mengumumkan dua lagi atlet iaitu Fatin Nursyakira Mizy, 20, dan atlet termuda Mohammad Darwisy Hakimi Zarin, 17, sebagai CSI dalam projek perintis SAY itu.

Turut hadir EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi, Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Prof Shahrin Sahib.


Pengarang :