BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Israk Mikraj: Antara pesona kerohanian dan realiti kehidupan

Setiap tahun akan ada beberapa hari kebesaran Islam untuk diperingati dan diulang renung pengajarannya. Salah satunya ialah peristiwa Israk dan Mikraj.

Ulama berbeza pandangan tentang tahun dan bulan sebenar peristiwa agung ini. Namun, mereka bersepakat bahawa peristiwa ini berlaku.

Buktinya, ayat-ayat al-Quran terutamanya al-Israk ayat satu dan al-Najm ayat satu hingga 18 sendiri menyebutnya.

Selain itu, pelbagai hadis sahih saling mengukuhkan dan menjelaskan antara satu sama lain.

Bagi muslim, setiap saat kehidupan Baginda mengandungi pedoman dan teladan termasuklah peristiwa Israk Mikraj.

Banyak sudah pengajaran yang ditulis dan diucapkan secara berulang-ulang.

Namun, saya tertarik dengan satu pengajaran berharga daripada ilmuwan terbilang dari India Muhammad Iqbal. Beliau menukilkan kenyataan seorang ahli sufi besar Abdul Quddus Gangohi yang berkata:

“Muhammad of Arabia ascended the highest Heaven and returned. I swear by God that if I had reached that point, I should never have returned.”

Seterusnya, Iqbal menyebut tentang perbezaan antara misi seorang sufi dan seorang nabi.

Menurutnya, seorang sufi mahu mencapai kemuncak kerohanian dengan meninggalkan segala ikatan keduniaan dan tenggelam dalam keasyikan hubungan dengan Tuhan.

Bagi seorang nabi pula, kemuncak kerohanian tersebut hanyalah permulaan.

Disebabkan itu, setelah mencapai puncak langit bertemu Tuhan, Nabi Muhammad SAW kembali ke bumi menunaikan tanggungjawab maha berat demi melakukan perubahan sejarah di dunia.

Misi kenabian

Menerusinya, Iqbal mengingatkan pembaca tentang misi kenabian yang cukup besar dan wajar diteladani. Jika tidak, dibimbangi seseorang muslim akan tersilap dalam beragama.

Kesilapan yang mungkin sukar untuk disedari kerana pesona kerohanian yang akhirnya mengasingkan dirinya daripada realiti masyarakat dan kehidupan.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh kesimpulan yang disebut oleh Iqbal mengenai misi Nabi SAW untuk melakukan perubahan. Saya sebut dua contoh ayat.

Pertama, firman Allah dalam surah al-Hadid, ayat 25, yang terang menyebut bahawa objektif di sebalik pengutusan para rasul adalah untuk menegakkan keadilan:

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.”

Itu merupakan contoh misi sejagat di sebalik pengutusan para rasul dan nabi, termasuk Rasulullah SAW.

Contoh misi khusus yang menyebut perihal Nabi Muhammad pula disebut dalam surah al-Anbiya’, ayat 107:

“Tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Dua ayat yang dinukilkan ini merupakan contoh sahaja. Hakikatnya, terdapat sangat banyak ayat yang menegaskan tentang misi dan objektif risalah para rasul.

Dengan menyelidik satu persatu kisah para nabi dalam al-Quran, pasti terbukti lebih jelas penegasan itu.

Mereka diutuskan bukan sekadar untuk menenggelamkan kita dalam lautan kerohanian yang penuh lazat, tetapi menjadikan kerohanian sebagai bekalan menunaikan tanggungjawab sebagai agen perubahan dan kemakmuran.

Jika direnungi lebih mendalam, semua itu menegaskan tujuan agung di sebalik penciptaan Adam, iaitu misi kekhalifahan; mentaati tuhan, membangunkan kemanusian dan memakmurkan bumi amanah Tuhan.

Kembali kepada komentar penuh bermakna oleh Iqbal itu, setelah menunjukkan bahawa misi dan objektif kenabian itu suatu yang cukup Quranik, saya ingin menyebut hal sebaliknya pula.

Maksudnya, al-Quran turut merakamkan sikap sebahagian orang yang membelakangi misi perubahan tersebut. Mereka melihat utusan Tuhan dalam kaca mata keajaiban semata-mata.

Dalam surah al-Furqan, ayat tujuh, al-Quran menyebut kenyataan golongan kafir:

“Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya).”

Tugas nabi

Mereka mahu melihat nabi versi khayalan mereka yang bukan manusia, tidak makan dan tidak juga minum. Selain itu, mereka beranggapan tidak wajar utusan Tuhan turut berjalan di pasar-pasar.

Kefahaman salah mengenai tugas para nabi ini dibetulkan oleh al-Quran. Para nabi berjalan ke pasar bererti mereka menyertai aktiviti kehidupan kaum mereka.

Allah bukan sahaja tidak menurunkan malaikat, malah seseorang rasul yang diutuskan itu juga berbicara dengan bahasa kaumnya (surah Ibrahim ayat empat).

Tujuannya adalah untuk menerangkan kepada mereka ajaran dan perintah Tuhan, serta bersoal jawab, berdialog dan beraktiviti dengan mereka.

Anehnya, sebahagian muslim hari ini juga seolah-olah ditimpa penyakit yang sama.

Mereka berpandangan bahawa pewaris nabi -iaitu ulama- hendaklah sekadar memimpin kerohanian dan urusan ‘keagamaan’ – dengan makna yang sudah disempitkan.

Menurut mereka, ulama pewaris nabi tidak wajar mencemarkan diri dengan melibatkan diri dalam ‘pasar ekonomi’, ‘pasar politik’, ‘pasar kesenian’ dan ‘pasar-pasar keduniaan’ lain.

Sebahagian pelajar bidang agama juga dididik secara terpisah daripada bidang, buku dan isu keduniaan yang lain.

Walhal, untuk terlibat melaksanakan misi kenabian, segala simpang siur keduniaan perlu difahami.

Untuk melakukan perubahan, hubungan dengan Tuhan perlu dipelihara dan ditambah mutunya. Penyucian dan pembangunan jiwa adalah maha penting.

Namun, ia bukan satu-satunya atau kemuncak misi seseorang muslim kerana teladan Nabi SAW menunjukkan semua itu penguat diri untuk menunaikan amanah Tuhan untuk membaiki diri dan mengubah kemanusiaan ke arah yang lebih baik.

 

* Marwan adalah penulis dan penterjemah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia. Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Selangorkini


Pengarang :