EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim meninjau lokasi tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sempadan Batu 14, Sungai Serdang, Kapar pada 21 Februari 2024. Foto pejabat EXCO
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Isu tapak sampah haram, EXCO arah semua PBT bertindak tegas

SHAH ALAM, 21 FEB: Kerajaan Negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) segera menyelesaikan isu tapak haram di kawasan pentadbiran masing-masing.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata setakat ini lebih 100 tapak pembuangan sampah haram dikesan seluruh Selangor antaranya sekitar Klang, Gombak dan Serdang.

“Kita mohon PBT supaya memantau isu ini dari semasa ke semasa dan jalankan operasi dengan terjah tapak pelupusan sampah ini. Jika perlu ambil tindakan sewajarnya supaya isu ini segera selesai.

“Selain itu, kita beri amaran kepada pihak berkaitan terutama pengusaha tidak mengambil kontraktor yang tidak berdaftar dengan PBT,” katanya kepada Selangorkini.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim meninjau lokasi tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sempadan Batu 14, Sungai Serdang, Kapar pada 21 Februari 2024. Foto pejabat EXCO

Beliau berkata pihaknya turut bercadang meminda Undang-undang Kecil Majlis Kerajaan Tempatan bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah.

Terdahulu, Suee Lim bersama beberapa pihak antaranya KDEB Waste Management, Majlis Bandaraya Diraja Klang, Lembaga Urus Air Selangor menyerbu tapak pelupusan sampah haram seluas lima hektar di Sungai Serdang, Kapar.

Mengulas mengenai serbuan di Sungai Serdang, beliau berkata sebanyak enam serbuan dijalankan di tapak pelupusan sampah tersebut selain tindakan sitaan lori.

“Lebih 700 tan sampah industri seperti kabel dan plastik dikeluarkan dari tapak haram ini sejak tiga tahun lalu. Kita telah menyerahkan notis 7A kepada pemilik tanah. Tindakan rampasan tanah akan dilakukan jika masih berdegil.

“Bagi memastikan isu ini tidak berulang, pihak penguat kuasa memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tapak pelupusan sampah ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Lokasi tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sempadan Batu 14, Sungai Serdang, Kapar pada 21 Februari 2024. Foto pejabat EXCO

Pengarang :